KOTA BHARU | Kelantan bersedia membuka semula empat lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) jika kes harian meningkat mendadak susulan sambutan Aidiladha sepertimana berlaku pada Aidilfitri lalu.
Ia berikutan peningkatan kenderaan sebanyak 15 peratus di bandar-bandar utama seperti Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat dan Machang susulan berlaku rentas negeri yang menyaksikan lima peratus kemasukan dari arah Utara sahaja.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, buat masa ini, PKRC Dewan Jubli Perak dibuka bermula semalam dan asrama Hospital Pasir Mas (HPM) beroperasi sejak 14 Julai lalu, menjadikan 11 pusat kuarantin setakat ini.
Katanya, empat lagi PKRC iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Laut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas dan Asrama Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh dalam keadaan bersiap sedia dibuka semula jika trend kes terus meningkat.
“Terbaharu, kita membuka semula PKRC Dewan Jubli Perak berikutan peningkatan lebih 90 peratus pesakit Covid-19 lelaki di negeri ini.
“Bagaimanapun, kapasiti penempatan pesakit Covid-19 di seluruh negeri kini kira-kira 70 peratus memandangkan kes harian sekitar 100 kes sehari, berbanding melebihi 90 peratus pada minggu lalu.
“Dari segi petugas, kita mengalami masalah berikutan ramai anggota dimobilisasi ke negeri ini. Namun kita masih menerima bantuan daripada hospital daerah supaya khidmat mereka dapat digunakan di semua PKRC,” katanya kepada Journal Malaysia selepas membuat lawatan di PKRC Tanjung Chat sempena Aidiladha, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Datuk Dr Selasawati Ghazali, yang turut bertanya khabar keadaan pesakit berikutan mereka tidak dapat bersama keluarga untuk menyambut Aidiladha.
Sementara itu, Dr Selasawati berkata, pihak hospital sentiasa bersiap siaga untuk menerima penambahan katil sama ada di wad biasa atau rawatan rapi bagi menampung peningkatan kes harian Covid-19.
“Buat masa ini, kapasiti di HRPZ II pada kadar 78 peratus daripada 175 katil termasuk 34 katil di ICU. Namun kita perlu bersiap sedia dengan trend peningkatan nasional, tambahan pula berlaku rentas negeri ketika ini.
“Apapun kita sama-sama doakan supaya kes harian tidak terus meningkat seperti mana berlaku pada Aidilfitri lalu.
“Cuma kitat harapkan rotasi yang mana pesakit yang dicaj pulang, kemudian kita akan tampung jika berlaku peningkatan kes,” katanya.