PUTRAJAYA | Masih terdapat pihak yang keras kepala apabila semalam 38 lagi premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Sementara kelmarin, 31 premis juga telah diarahkan tutup menerusi pemeriksaan yang dijalankan kerana kesalahan sama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premisperniagaan kerana terlalu banyak perlanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.
Menurutnya, semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 83,215 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,567 orang.
“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,970 buah kilang, 16,530 premis perniagaan, 1,031 tapak pembinaan dan 272 buah asrama penempatan pekerja.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 38 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini juga, Menteri Kanan Pertahanan telah memberikan jaminan bahawa kerajaan tidak memberi sebarang kelonggaran dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana kilang atau premis perniagaan ketika ini.
Tegasnya juga, tindakan tegas akan diambil terhadap kilang atau premis yang melanggar SOP yang ditetapkan.
Kerajaan akan melakukan ‘perang’ habis-habisan dalam ‘combat’ melawan COVID-19 dan mengambil tindakan tegas kepada kilang dan premis perniagaan yang masih degil.