PUTRAJAYA | Pemandu kenderaan awam di bawah Kementerian Pengangkutan akan menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya pada penghujung bulan Ogos nanti.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bekata, kumpulan pertama yang bakal menerima vaksin melibatkan 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing.
Menurutnya, hari ini beliau telah mengadakan perjumpaan secara maya dengan pihak pengurusan syarikat Grab bagi membincangkan progres pemberian vaksin ke atas pemandu-pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing.
“Sekitar 100,000 pemandu e-hailing dan 50,000 penunggang p-hailing yang berkhidmat dengan Grab sekarang.
“Sebagai sebahagian daripada anggota perkhidmatan barisan hadapan (frontliner), mereka juga perlu diberi keutamaan dalam pemberian vaksin bagi memastikan keselamatan pemandu, penunggang dan pelanggan.
“Sepertimana yang saya umumkan sebelum ini, proses penjadualan pemberian vaksin bagi pemandu teksi, e-hailing dan penunggang p-hailing sudahpun bermula,” katanya hari ini.
Beliau memahami, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor pengangkutan merupakan perkhidmatan perlu yang terus beroperasi 24 jam sehari dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat selain memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas.
“Maka, saya telah mengarahkan agensi-agensi di bawah Kementerian saya untuk mengumpulkan nama-nama pemandu dan penunggang untuk tujuan vaksinasi,” katanya.
Katanya, Kementerian Pengangkutan juga bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam usaha mencapai imunisasi kelompok seawal mungkin.
“Saya berharap dengan adanya kerjasama semua pihak, pemandu kenderaan awam di bawah jagaan Kementerian Pengangkutan akan dapat menerima vaksin mereka selewat-lewatnya pada penghujung bulan Ogos nanti,” katanya.