KOTA BHARU | Penduduk Kelantan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Polis melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan majlis ibadah korban.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, polis di setiap daerah membuat rondaan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan tiada kenderaan dari luar pulang ke kampung.
Katanya, hasil pemeriksaan, polis mendapati kenderaan yang ada di hadapan rumah adalah milik mereka yang tinggal di kediaman itu.
“Setakat ini, pihak kita dapati semua yang diperiksa patuh SOP yang ditetapkan.
“Begitu juga ketika majlis ibadah korban, kesemua penganjur dan peserta patuh SOP,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mena menasihatkan kepada masyarakat supaya terus berada di rumah dan tidak mengunjungi rumah jiran tetangga pada musim ini.