PUTRAJAYA | Kerajaan telah meluluskan pembukaan semula aktiviti penggambaran filem luar studio dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkatan, keputusan itu antara usaha berterusan kerajaan merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.
Katanya, kelulusan untuk aktiviti penggambaran berpandukan kepada Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang akan dikawal selia oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Kategori yang dibenarkan untuk meneruskan penggambaran adalah produksi drama, iklan dan dokumentari sahaja yang telah menangguhkan penggambaran kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di fasa Pelan Pemulihan Negara.
“Aktiviti penggambaran hanya boleh dijalankan di negeri yang berada di status fasa dua sahaja dan melibatkan lokasi atau premis penggambaran luar studia sahaja. Produksi boleh menggunakan mana-mana lokasi atau premis dengan syarat ia mempunyai jarak zon penampan (buffer zone) daripada mana-mana kawasan penempatan serta perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Saifuddin berkata, aktiviti penggambaran dilaksanakan dengan kaedah PREP yang melibatkan jumlah tenaga produksi minima dan tidak dibenarkan keluar dari radius zon penggambaran sehingga tamat.
Katanya, bagi tujuan tersebut, setiap produksi mempunyai tempoh bertenang yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk sebarang penggambaran baru.
“Penguatkuasaan aspek kawalan risiko dengan kebenaran hanya diberikan kepada tenaga produksi yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19, menjalani saringan kesihatan sebelum, semasa dan selepas tamat penggambaran serta pelantikan Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) oleh pihak produksi yang bertanggungjawab bagi pematuhan semua SOP yang telah ditetapkan oIeh kerajaan.
“Saya juga menyeru supaya syarikat produksi yang terlibat untuk sentiasa mematuhi semua syarat-syarat yang dinyatakan untuk mengelakkan sebarang implikasi perundangan, keselamatan dan kesihatan khususnya dalam usaha kerajaan memerangi wabak COVID-19 ini.
“Butiran lanjut mengenai SOP dan garis panduan tersebut boleh didapati menerusi laman sesawang KKMM di www.kkmm.gov.my dan FINAS di www.finas.gov.my. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan FINAS di talian 03-41041300 atau e-mel di info@finas.my,” katanya.