BUKIT MERTAJAM | Polis Pulau Pinang mengesan lebih 200 individu warga asing yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menunaikan solat Sunat Aidiladha di atas jalan raya berhampiran Surau Taman Pelangi di Seberang Perai Tengah padi tadi.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka bertindak sedemikian setelah surau yang mengehadkan 100 jemaah di kawasan terbabit telahpun penuh untuk menunaikan solat Sunat Aidiladha pagi tadi.
Menurutnya, sebelum solat sudah berlaku limpahan jemaah yang mana pihak surau telah mengarahkan mereka untuk beransur pulang dan menutup pintu pagar surau berkenaan.
“Kita akan cuba mengenal pasti mereka yang hadir pada hari ini dan melanggari SOP tersebut.
“Semalam saya sudah jelaskan di sini (menerusi sidang media untuk patuh SOP), pihak kerajaan sedang melawan wabak COVID-19. Justeru itu, kita amat mengharap supaya semua warga Malaysia mematuhi undang-undang ini,” katanya menerusi sidang media hari ini.
Beliau juga memberitahu, berkemungkinan pihak masjid juga tidak menghubungi polis kerana mengambil kira sensitiviti.
“Hasil siasatan kita pada peringkat awal ini, ianya berlaku secara spontan dan itu tidak bermakna kami tidak akan menyiasat kejadian pagi tadi.
“Pihak polis akan terus menyiasat sekiranya berlaku perancangan membawa jemaah yang sedemikian ramai ke surau tersebut pada pagi ini,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Dalam pada itu, beliau juga memohon maaf kepada semua rakyat Pulau Pinang di atas kegagalan untuk mengesan tindakan terbabit dengan lebih awal.
Beliau juga mengingatkan semua pengerusi masjid mahupun surau untuk melaporkan kepada pihak polis dengan menghubungi talian 04-32221722 sekiranya terdapat sebarang pelanggaran SOP.
“Saya juga ingin mengingatkan semua pengerusi masjid, surau dan sebagainya dalam masa tiga hari ini iaitu hari Tasyrik di mana ada acara-acara di masjid dan surau yang akan dilakukan sekiranya ada mereka yang enggan mematuhi SOP untuk menghubungi pihak polis
“Saya faham bahawa pengerusi masjid sedia maklum akan sensitiviti orang nak beramal ibadat dan sebagainya, tetapi dalam keadaan kita melawani wabak COVID-19 ini kita tidak boleh berkompromi dengan SOP,” katanya.