KOTA BHARU | Seorang remaja lelaki maut, manakala seorang lagi lelaki parah dalam kemalangan di Kampung Chicha Menyabong di sini, tengah malam tadi.
Kejadian jam 12.40 tengah malam itu mangsa, Muhammad Adam Azman, 15, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala Muhammad Hamzi Akmal, 18, mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kemalangan berlaku ketika Muhammad Adam yang menunggang motosikal Honda C100B dari arah Kampung Pulau Belanga ke Wakaf Zin di sini, dan sebaik sampai di lokasi kenderaannya terbabas serta hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Katanya, akibatnya kenderaan mangsa bertembung dengan motosikal Yamaha LC 135 yang ditunggang Muhammad Hamzi yang dalam perjalanan pulang selepas selesai bekerja.
“Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua penunggang jatuh di atas jalan dan salah seorang daripadanya meninggal dunia yang disahkan oleh Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Kota Jembal.
“Seorang mangsa cedera parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan siasatan awal,
punca kemalangan dipercayai kegagalan Muhammad Adam mengawal motosikalnya yang ditunggang dengan agak laju. Akibatnya motosikal mangsa masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar secara berhadapan dengan sebuah lagi motosikal.
“Kedua-dua mangsa dihantar ke HUSM masing-masing untuk dibedah siasat dan rawatan lanjut.
“Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.