KUALA LUMPUR | Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun memulakan siasatan lanjut secara terperinci berhubung video tular didakwa berkenaan pelanggaran SOP Solat Hari Raya Aidiladha di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pagi tadi.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PDRM melalui Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah telah pun memulakan siasatan.
“Selain itu, Ketua Polis Pulau Pinang juga diminta untuk memberikan laporan serta penjelasan terperinci dengan segera berhubung penugasan anggota PDRM yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pematuhan SOP di lapangan, terutamanya semasa perayaan Hari Raya Aidiladha tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, KDN memberikan jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat menganjurkan majlis tersebut.
Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga diarahkan untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan pengusiran di bawah Akta Imigresen 1958/63 sekiranya ianya membabitkan penglibatan warga asing.
“Sementara siasatan dimuktamadkan, KDN menyeru orang awam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman yang boleh mendatangkan ketidakteraman awam,” katanya.
Hari ini tular video ratusan individu dipercayai warga asing didakwa melanggar SOP dengan mengadakan solat sunat Aidiladha di kawasan lapang di Taman Pelangi, Juru.
Rakamam berkenaan tular di media sosial sejak awal pagi tadi menerusi facebook.