KOTA BHARU | Pasangan suami isteri bimbang mengenangkan anak perempuan sulungnya hilang tanpa jejak sejak dua hari lalu.
Nor Syarafina Syarman, 18, dilaporkan hilang selepas keluar rumah dari Kampung Parit Lembah Libat, Peringat jam 3.30 petang kelmarin.
Bapanya, Syarman Yaakob, 42, berkata, sebelum hilang, anaknya itu meminta izin untuk keluar pada petang hari kejadian untuk berjumpa dengan rakannya.
Katanya, ketika itu dia sedang membuat lemang untuk dijual dan melihat anaknya keluar diambil kawannya.
“Syarafina memaklumkan hanya mahu keluar sekejap sebelum pulang ke rumah untuk membantu saya berniaga. Namun, selepas jam 4 petang, saya cuba menghubungi anak tetapi gagal dan sehingga kini tidak tahu dia tinggal di mana.
“Pelbagai usaha saya lakukan termasuk bertanya kepada rakan yang mengambil anak saya dan dia memaklumkan hanya mengambil Syarafina serta menghantarnya di hadapan masjid sebelum anak saya menaiki kereta kakak angkatnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini anaknya itu ada bercerita tentang kakak angkatnya yang dipercayai tinggal di Melor dan tidak mengenalinya.
Katanya, dia bimbang dengan keselamatan anak sulung daripada empat beradik itu dan sudah membuat laporan Balai Polis Melor.
“Saya harap orang ramai dapat bantu dan mereka boleh menghubungi kami di talian 017-9440049 sekiranya menemui anak saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.