KUALA LUMPUR | Sebanyak 555 ekor lembu ditumbangkan menerusi Program Musaadah Perdana Ibadah Korban Wilayah Persekutuan 1442H/2021M.
Sebanyak 66 masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah terlibat dalam program tersebut
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, melalui program itu sebanyak 38,850 daging korban dihasilkan.
Katanya, jumlah keseluruhan daging korban yang dihasilkan sebanyak 38,850 pek.
“Sebanyak 15,540 pek daging korban diagihkan kepada fakir miskin, 11,655 pek kepada peserta korban dan 11,655 pek kepada petugas barisan hadapan dan lain-lain golongan yang memerlukan.
“Saya mengharapkan ia dapat meringankan beban dan menggembirakan mereka yang memerlukan terutamanya dalam tempoh pandemik ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook di sini malam tadi.
Terdahulu beliau meninjau operasi ibadah korban yang bertempat di Pusat Sembelihan, Colla Cattle Farm, Kuala Selangor, Selangor.
Beliau berkata, semua proses penyembelihan termasuk lapah, potong dan pembungkusan daging korban dilaksanakan dengan pemantauan di lapan buah Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan atau ladang ternakan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar di sekitar Lembah Klang.
Katanya, daging korban yang telah siap dibungkus diedarkan kepada penerima berdasarkan jadual penghantaran mengikut zon-zon bermula hari raya pertama hingga hari raya keempat.