SUNGAI PETANI | Kerajaan Negeri Kedah akan membekalkan bantuan khas wang tunai dan makanan basah kepada 2,767 rumah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Daerah Kuala Muda.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan tersebut akan melibatkan peruntukan khas berjumlah RM373,545.
Menurutnya, bekalan makanan basah akan mula dibekalkan mulai pagi esok melalui petugas PKOB dan kakitangan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di taman-taman perumahan di Taman Bandar Baru, Taman Cahaya dan Lembah Permai PKNK dan Kampung Sireh.
“Kerajaan menyedari kesukaran mendapatkan makanan basah dan bekalan wang tunai berikutan ada kawasan terbabit PKPD tidak mempunyai perkhidmatan bank atau ATM.
“Selepas dua minggu dikenakan PKDP mereka telah kehabisan bekalan wang tunai dan ini menimbulkan masalah untuk membeli keperluan selain daripada makanan yang dibekalkan melalui bakul makanan PKOB,” katanya.
Katanya, semua bantuan makanan basah dan wang tunai ini akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kuala Muda yang diketuai Abdullah Hashim.
PKPD dikuatkuasakan di Kuala Muda bermula 5 hingga 18 Julai.
Kebanyakan kes di mukim terlibat membabitkan kluster kilang, ia bermula di asrama pekerja kilang dan merebak dalam kalangan komuniti.