by Nor Shazleza Shahril
TUMPAT | Penjualan ikan masin turut menerima kesan ketara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan di negeri ini.
Sebelum ini, penjual mampu meraih sehingga lebih RM2000 untuk sehari, namun sejak PKP yang masih dilaksanakan sehingga kini, pendapatan mereka sukar mencecah hingga RM500 sehari.
Pemborong ikan masin, Wan Sapiah Wan Yusoff, 41, berkata, hasil jualannya merosot teruk ekoran larangan rentas daerah dan negeri yang diperintahkan oleh kerajaan kerana separuh daripada hasil jualan bergantung kepada pembeli luar daerah.
“Sebelum ini, jualan ikan masin sangat laku kerana pengunjung dari luar dapat bertandang sendiri ke kedai dan memilih ikan masin mengikut citarasa mereka.
“Namun kini, saya hanya bergantung dengan hasil jualan kepada peraih dan peruncit dari negeri ini sahaja dan kebanyakkannya berniaga di pasar-pasar besar seperti Pasar Besar Tasek Raja di Pasir Mas dan lain-lain.
“Penjualan ikan masin kepada peruncit seperti ini sedikit sebanyak mampu memberi kelegaan kepada saya dan dapat mengelakkan daripada kerugian yang besar akibat ikan masin yang terlalu lama dan telah rosak,” katanya ketika ditemui di kedai miliknya di Pantai Sri Tujuh di sini.
Tambah Sapiah, dia juga baru sahaja menjalankan perniagaan atas talian yang dibantu oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi memproses dan memasarkan produk ikan masin ini ke luar negeri.
“Sejak mengikuti kursus yang dianjurkan oleh UMK beberapa bulan yang lalu, Alhamdulilah saya mampu untuk mempromosikan produk ikan masin ini dengan lebih jauh.
“Walaupun masih baru dalam bidang perniagaan atas talian, setidak-tidaknya ikan masin saya dapat dipasarkan dan tidak terus menerus menanggung kerugian yang lebih besar kerana kurang permintaan sejak Covid-19 melanda seluruh negara,”katanya.