Jakarta | Umat Islam di Indonesia menunaikan solat sunat Aidiladha di luar masjid selain menyembelih kambing sempena sambutan Aidiladha pada Selasa.
Ia meskipun negara dengan penduduk Islam teramai itu kini sedang berdepan dengan kenaikan mendadak kes baharu Covid-19.
Semalam adalah kali kedua penduduknya menyambut Aidiladha ketika penularan pandemik itu
Pihak berkuasa sudah mengumumkan larangan perhimpunan ramai termasuk pada acara tradisi seperti korban haiwan ternakan.
Di Jakarta dan beberapa lokasi lain di negara itu, ramai yang mengikuti arahan untuk tidak menunaikan solat sunat Aidiladha di dalam masjid.
Namun, mereka dilihat menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan di kawasan berhampiran.
Di Bandung, mereka membentang sejadah di laluan sempit berhampiran rumah masing-masing.
Ribuan lagi umat Islam di Banda Aceh berkumpul di kawasan berhampiran Masjid Agung Baiturrahman.
Presiden, Joko Widodo, sebelum ini merayu kepada umat Islam untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di rumah masing-masing.
Ini bagi mengelakkan sebarang perhimpunan yang dibimbangi akan meningkatkan penularan jangkitan Covid-19.
“Kita perlu berkorban dalam suasana pandemik,” katanya dalam ucapan di televisyen, pada Isnin.
Kes Covid-19 meningkat selepas umat Islam melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Indonesia kini sudah mengatasi India dan Brazil sebagai pusat penularan wabak apabila jumlah kematian naik sehingga 1,338 kes pada Isnin.
Kes positif harian pula meningkat kepada 50,000 sehari, iaitu 10 kali ganda berbanding purata kes harian pada awal Jun.
Peningkatan kes di Indonesia disumbang kepada penularan varian Delta yang merebak dengan cepat.