CYBERJAYA | Liputan telekomunikasi di Kampung Ulu Entabuan, Tenom, Sabah sudah dalam perancangan jangka panjang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kata kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Kenyataan itu menyebut, pihaknya dari Cawangan Keningau telah melakukan tinjauan di kampung tersebut sebaik sahaja tersiarnya kisah dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Entabuan terpaksa ke puncak bukit berdekaran untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di pondok kebun getah.
“Hasil tinjauan oleh MCMC mendapati Kg. Ulu Entabuan di Tenom, Sabah terhalang oleh bentuk muka buminya yang berbukit, yang menyebabkan liputan Internet lemah.
“Walau bagaimanapun, MCMC telah pun mempunyai perancangan jangka panjang untuk membina menara komunikasi baharu dan memperbaiki liputan telekomunikasi di kawasan tersebut,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, buat masa ini, terdapat sebuah menara komunikasi berdekatan yang terletak lebih kurang 2.88 kilometer di Skim Penempatan Getah Lagud Seberang yang akan dinaik taraf untuk memberikan perkhidmatan 4G kepada penduduk dan dijangka siap menjelang April 2022.
“Seterusnya, di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), perancangan turut melibatkan pembinaan dua buah menara komunikasi di dua buah kampung yang berdekatan. Sebuah menara baharu sedang dibina di Kg. Mandalom Baru yang jaraknya lebih kurang 2.75 kilometer dari Kg. Ulu Entabuan dan dijangka akan beroperasi pada bulan April 2022.
“Sebuah menara lagi akan mula dibina pada awal tahun 2022 di Kg. Makakumpai yang jaraknya lebih kurang 3.3 kilometer dari Kg. Ulu Entabuan.
“Dengan adanya perancangan-perancangan ini, masalah capaian Internet dapat diatasi tidak lama lagi,” katanya.