SHAH ALAM | Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menghulurkan sumbangan peruntukan Baitulmal MAIS berjumlah RM50,000 bagi menyediakan bekalan peralatan pengurusan jenazah seperti beg mayat dan set kelengkapan pelindung diri (PPE).
Sumbangan disalurkan kepada Amal Valley Organization iaitu pertubuhan yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menguruskan jenazah COVID-19 di hospital-hospital di Negeri Selangor.
Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, objektif sumbangan ini sebagai satu sokongan MAIS kepada maslahah ummah Islam di Negeri Selangor dalam menghadapi situasi getir penularan wabak COVID-19 pada masa kini.
Katanya, pengurusan jenazah adalah haddul kifayah umat Islam dan perlu disegerakan setiap pengebumiannya.
“Oleh itu, dengan adanya sumbangan ini ia dapat melancarkan lagi pengurusan jenazah COVID-19 yang berbeza pengurusannya dengan pengurusan jenazah biasa.
“Kami difahamkan bagi satu kematian berpunca daripada COVID-19, ianya memerlukan kos minimum sebanyak RM940.50 seorang.
“Keperluan yang disediakan satu body bag dan tujuh set PPE serta perlu diuruskan oleh pasukan yang terlatih dan berpengalaman. Oleh itu, sebagai kebersamaan pihak MAIS dan JAIS dalam urusan melibatkan maslahah ummah ini, sumbangan MAIS ini disalurkan kepada JAIS melalui Amal Velley Organization bagi melancarkan urusan pengebumian,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Amal Valley Organization, Dr Azfar Hussin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MAIS atas sumbangan yang diberikan ini.
“Keperluan PPE meruncing apabila bilangan jenazah COVID-19 semakin bertambah dan dana semakin berkurangan.
“Keselamatan sukarelawan menjadi keutamaan kerana bilangan sukarelawan yang ‘berani ‘ menguruskan jenazah COVID-19 tidak seramai pengurusan jenazah biasa, maka kewajipan persatuan untuk memastikan keselamatan mereka.
“Terima kasih kepada pihak MAIS dan JAIS atas keprihatinan ini, semoga kerjasama seperti ini dapat merancakkan nilai dan semangat kesukarelawanan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, semoga dengan bantuan MAIS itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban pengurusan hospital bagi urusan jenazah pesakit COVID-19.
Kepada masyarakat Islam di Selangor yang ingin menyumbang atau bersedekah, bolehlah terus layari laman web MAIS iaitu di www.mais.gov.my untuk keterangan lanjut.