PETALING JAYA | Pembakaran terbuka ketika Malaysia berada dalam fasa Monsun Barat Daya sehingga September dengan menyaksikan taburan hujan berkurangan, bakal mendedahkan negara kepada jerebu.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, data Jabatan Alam Sekitar menunjukkan banyak kes pembakaran terbuka berlaku di kawasan pelupusan sampah sarap, kebun tanaman, tapak pembinaan dan industri.
“Oleh demikian, semua pihak diingatkan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah dan sering terbakar.
“Malaysia kini berada pada fasa Monsun Barat Daya sehingga September ini. Taburan hujan akan berkurang dan pembakaran terbuka hingga berpotensi menyebabkan jerebu,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Cuaca panas melanda negara pada masa kini disebabkan Monsun Barat Daya yang dijangka berlaku sehingga pertengahan September.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memuatnaik grafik kesalahan dan denda terhadap pembakaran terbuka dalam Facebook beliau.
Mengikut Seksyen 29A (2) atau 29B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menetapkan kompaun maksimum RM2,000 bagi setiap kesalahan manakala denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pembakaran terbuka. – UTUSAN ONLINE