CYBERJAYA | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan Laporan Rundingan Awam berhubung pelaksanaan Kemudahalihan Nombor Talian Tetap (FNP) di Malaysia.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, laporan Rundingan Awam yang diterbitkan ini merumuskan hasil rundingan dan keputusan MCMC berdasarkan maklum balas yang diterima.
“Laporan berkenaan dibahagikan kepada lima bahagian seperti penanda aras antarabangsa, aspek teknikal FNP, kos pelaksanaan FNP, aspek prosedur FNP dan langkah seterusnya.
“Sesi Rundingan Awam tersebut membolehkan pihak MCMC untuk merangka langkah seterusnya berhubung FNP dan dasar penomboran tetap di Malaysia,” katanya.
Kenyataan itu berkata lagi, FNP merujuk kepada keupayaan para pelanggan perkhidmatan talian tetap untuk mengekalkan nombor sedia ada sama ada beralih lokasi atau penyedia perkhidmatan yang lain.
Ujarnya, MCMC menjangkakan pelaksanaan FNP ini akan mewujudkan pasaran perkhidmatan talian tetap yang lebih berdaya saing.
“Bagi merealisasikan pelaksanaan FNP, Kumpulan Kerja Industri (Industry Working Group – IWG) akan ditubuhkan untuk memuktamadkan butiran lanjut pelaksanaannya.
“MCMC melihat keperluan untuk membenarkan IWG untuk menetapkan garis masa pelaksanaan FNP yang bersesuaian bagi membolehkan para pengguna dapat menikmati FNP dengan secepat mungkin,” katanya.