KUALA LUMPUR | Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) melantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA).
Beliau mempengerusikan mesyuarat LPA kali pertama pada 13 Julai lalu.
Ahli LPA lain yang dilantik ialah Timbalan Pengerusi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; bekas Ketua Pengarah Pelajaran serta Pengerusi Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud dan Pengerusi Heriot-Watt University Malaysia serta Skymind Holdings Bhd, Datuk Yasmin Mahmood.
Yayasan Peneraju dalam satu kenyataan berkata, pelantikan ahli LPA baharu bertujuan mempercepatkan aspirasi agensi dalam memupuk dan membangun modal insan serta menjadikan mereka berdaya saing dalam pelbagai sektor.
“Pelantikan Mohd Rezuan kerana mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan dan keusahawanan, pernah berkhidmat di beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini.
“Beliau juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), menerajui empat badan kerajaan lain di bawah portfolionya iaitu Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).
“Sementara itu, Saiful Anuar adalah Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi (UPE) di Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Bukan Eksekutif di Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas),” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pelantikan itu diharap dapat menyumbang dalam hal berkaitan pentadbiran, sumber manusia dan pembangunan sektor awam termasuk bertanggungjawab menyediakan Kajian Separuh Penggal untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) iaitu mengenai pembangunan dan kesejahteraan inklusif, pembangunan wilayah dan modal insan.