KUALA LUMPUR | Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menyambung semula prosiding berhubung perolehan vaksin Covid-19 dan penggunaannya terhadap rakyat pada 27 Julai ini, dengan memanggil semula Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Dalam satu kenyataan hari ini, PAC juga akan memanggil Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sebelah pagi, pada 28 Julai ini,
Menurut kenyataan itu lagi, PAC kemudian akan mendengar penjelasan daripada Akauntan Negara, Datuk Dr Yacob Mustafa berhubung prosiding yang sama pada sebelah petang.
“PAC pada 5 Januari lalu, memulakan prosiding berhubung Perolehan Vaksin Covid-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia Jawatankuasa ini, dengan mendengar penjelasan daripada Khairy dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Prosiding berhubung isu ini, menggunakan punca kuasa daripada PM77(1)(d) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang membenarkan Jawatankuasa ini, memeriksa apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa ini patut diperiksa,” kata kenyataan itu.
Mengambil kira perkembangan terbaru mengenai perolehan vaksin Covid- 19 sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa selama enam bulan, PAC berpendapat kerajaan perlu memberikan penjelasan lebih terperinci kepada jawatankuasa ini memandangkan senarionya sudah berubah berbanding Januari lalu.
PAC komited untuk menyiapkan laporan mengenai isu ini dan membentangkan laporan ke Parlimen selewat-lewatnya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat sidang Dewan Rakyat bermula Oktober hingga Disember depan.