BANGI | PAS Kawasan Bangi mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang merosakkan imej penjawat awam di saat umat Islam sedang meraikan hari raya Aidiladha.
PAS Kawasan Bangi menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menuntut kesemua anggota polis dan orang awam yang ditangkap diberi hukuman yang sewajarnya.
Katanya, hukuman itu sebagai pengajaran kepada pihak berkuasa dan penjawat awam yang lain.
“Rakyat menyanjung tinggi anggota polis sebagai petugas barisan hadapan dalam mengekang wabak COVID-19.
“Namun, kepercayaan ini perlulah digalas dengan penuh integriti dan amanah agar imej anggota polis tidak dipandang rendah dengan budaya yang jelas bertentangan dengan norma rakyat Malaysia yang berpegang teguh kepada agama Islam sebagai agama persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan hasil serbuan Bukit Aman, ketika mereka berhibur dalam bilik khas di balai polis diketuainya, dalam daerah Kajang di sini, petang semalam.
Serbuan dijalankan pasukandaripada Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, pada jam 6 petang semalam, sebaik menerima maklumat dari orang awam.
Ketika serbuan terhadap balai berkenaan, sebahagian daripada mereka dipercayai sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam sebuah bilik di tingkat dua balai berkenaan.