KUALA LUMPUR | Berdasarkan Kajian Rokok Seludup Malaysia (ICS) yang dijalankan Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM), pemerdagangan rokok haram menurun kepada 57.9 peratus, Mei lalu daripada 64.1 peratus pada Disember 2020.
Penurunan itu adalah julung kali berlaku dalam tempoh enam tahun sejak 2015.
Pengarah Urusan Japan Tobacco International Bhd (JTI Malaysia), Khoo Bee Leng memuji langkah kerajaan melaksanakan kawalan dan pengawasan lebih ketat terhadap rokok import.
Katanya, langkah itu membawa kepada perkembangan positif berkenaan.
“Pengurangan jumlah kemasukan rokok haram adalah isyarat awal penambahbaikan yang boleh dikaitkan dengan dasar diumumkan Menteri Kewangan semasa Belanjawan 2021.
“Ia termasuk usaha menghentikan pengeluaran lesen import baru, memperketat pembaharuan lesen import, mengehadkan pemindahan rokok ke lima pelabuhan khusus dan pelaksanaan cukai ke atas rokok import dengan kekurangan kemudahan untuk eksport semula,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.