KUALA LUMPUR | Semua individu yang berada di Malaysia, wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, undang-undang dan peraturan wajib dipatuhi oleh semua termasuk warga asing dan juga pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Beliau telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan dalam negara.
“Semua pihak seharusnya memberikan kerjasama kepada anggota penguatkuasaan yang sedang menjalankan tugas.
“Ianya bagi memastikan kedaulatan negara dan kepentingan awam dapat dipelihara,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau turut berkongsi beberapa artikel penahanan individu dan kumpulan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah diambil tindakan.
Ia termasuk menahan mereka dan juga menahan reman untuk siasatan lanjut.