KOTA BHARU | Jangan terus leka, jangkitan COVID-19 di Kelantan kembali mengganas dan hari ini angka pesakit positif sudah hampir mencecah 400 kes.
Berdasarkan perkongsian data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini sebanyak 386 kes dicatatkan di Kelantan, yang mana menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini adalah 38,293 positif COVID-19.
Mengikut infografik Jabatan Kesihatan Kelantan jika dibandingkan dengan semalam dan dua hari lalu, angka direkodkan di negeri masih di bawah 200 kes.
Semalam, 179 kes manakala kelmarin pula 170 pesakit positif direkodkan di seluruh Kelantan.
Hari ini pula, daripada 386 kes yang direkodkan ia membabitkan 370 kes tempatan, 11 kes Import B, tiga kes Import C dan dua lagi kes penjara/lokap.
Daripada jumlah sama, 168 kes melibatkan Kluster Sedia Ada/Baharu, 146 kes Saringan Kontak Rapat, 53 kes Saringan Bergejala, lima kes Saringan Zon Merah (Selangor) dan tiga kes Saringan Pre-admission.
Selain itu, tiga kes Saringan Zon Merah (Kuala Lumpur), dua kes Saringan OKT, dua kes Saringan Pra-pembedahan, dua kes Saringan SARI dan satu kes masing-masing membabitkan Saringan Komuniti serta Saringan Zon Merah (Johor).
Jajahan Kota Bharu hari ini menyaksikan peningkatan apabila 108 kes baharu dicatatkan hari ini berbanding semalam 88 kes sahaja.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Hussin menerusi facebooknya mengingatkan masyarakat untuk terus meningkatkan penjagaan kesihatan dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) .
Journal Malaysia juga menasihatkan masyarakat di Kelantan untuk terus kuarantin kendiri dan menjaga keselamatan diri dengan mematuhi SOP yang digariskan kerajaan.