KUALA LUMPUR | Timbalan Perdana Menteri menasihati pasukan Misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) yang kini berada di Kaherah, Mesir untuk pulang dahulu ke Malaysia kerana keadaan di Gaza yang belum stabil.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, beliau menasihati pasukan itu menerusi video konferensi bersama pasukan bantuan kemanusiaan ke Palestin yang diketuai Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia (BKUM), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini.
“Oleh kerana keadaan di Gaza masih tidak menentu, maka saya menasihati Datuk Seri Azeez dan pasukan untuk pulang dulu ke Malaysia.
“Insya-Allah jika keadaan stabil mereka boleh ke Gaza semula.
“Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi, setiap orang ada pengorbanannya, di dalam pengorbanan juga pasti ada ujian-Nya. Tetapi Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dia mengetahui setiap pengorbanan seorang insan,” katanya.
Beliau berkata, semoga setiap usaha dan pengorbanan itu dijadikan asbab kebahagian yang dapat untuk semua.
Misi HM4P bermula 19 Jun lalu dengan tujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin dan menyalurkan bantuan kemanusiaan.