SHAH ALAM | Polis Selangor menerima sebanyak 220 kes membabitkan pemerasan atau ugut dalam talian untuk menyebarkan gambar bogel dan video lucah dalam tempoh enam bulan tahun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 29 kes membabitkan kenalan kepada mangsa seperti bekas suami, bekas teman lelaki atau kenalan.
Katanya, 137 kes adalah membabitkan individu yang tidak dikenali menghantar video bukan milik mangsa untuk mengganggu mangsa.
“Sebanyak 54 kes, mangsa diperdaya iaitu anggota sindiket akan mencari kenalan melalui laman sosial sehingga memperdaya mangsa membuat aksi lucah ketika sedang ‘live’ tanpa mengetahui aksi mereka direkod oleh sindiket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara aplikasi yang sering digunakan oleh sindiket ialah Wechat, Facebook, Michat, Whatsapp, laman web GODATE2NIGHT, Locanto.asia, Line, Skype, Mingle2, Tantan, Tinder, perkhidmatan urutan tradisional, aplikasi swag (pelaburan), Twitter, Telegram dan Bitcoin.
Beliau berkata, mereka menggunakan semua aplikasi yang terbabit untuk berkomunikasi dengan mangsa berusia lingkungan 20 hingga 60-an.
“Mangsa akan diperdaya sehingga sanggup berbogel dan mengikut arahan yang diberikan anggota sindiket dan mereka kemudian merakam video serta gambar lucah mangsa.
“Selepas itu ahli sindiket akan mengugut mangsa dengan meminta wang sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
“Jumlah kerugian dialami mangsa antara RM3,000 hingga RM50,000 dengan suspek menggunakan akaun bank tempatan, termasuk luar negara bagi mengelak aktiviti mereka dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Mengulas lanjut beliau menasihatkan supaya masyarakat mengelakkan diri dari melakukan aksi yang mengaibkan diri menerusi aplikasi digital.