PUTRAJAYA | Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif membangunkan Garis Panduan Penghukuman menggunakan Teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence).
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya dalam satu kenyataan berkata, usaha itu sejajar dengan kerancakan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0.
“Garis Panduan Penghukuman Menggunakan Teknologi Arlificial Intelligence(AI) dihasratkan hanya sebagai suatu panduan dan rujukan pantas Hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret apabila membuat keputusan mengenai sesuatu hukuman bagi sesuatu kes.
“Pelaksanaan Sistem AI dibuat menerusi tiga fasa. Bagi fasa pertama bermula pada Julai 2021 dan akan melibatkan 20 kesalahan lazim di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret iaitu lapan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574) (seksyen 323, 323/326A, 375/376, 379, 379A, 380, 420 dan 457); lapan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 Akta 333) (seksyen 26, 39, 56, 57, 63, 79, 90 dan 114) dan empat kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 2341 (seksyen 15(1)(a), 12(3), 39A(1) dan 39A(2)),” katanya.
Kata kenyataan itu, bagi pelaksanaan fasa kedua akan bermula pada Ogos 2021 hingga Disember 2021 dan akan melibatkan 30 kesalahan daripada pelbagai peruntukan undang-undang.
Tambahnya, pelaksanaan pada fasa terakhir pula akan bermula dari Januari 2022 hingga April 2022 akan melibatkan lain-lain kesalahan yang direkodkan dalam Sistem e-Kehakiman.
“Sistem AI akan dilaksanakan secara rintis di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada 23 Julai nanti.
“Untuk makluman, Garis Panduan Penghukuman bagi kegunaan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di Negeri Sabah dan Sarawak telah dibangunkan dan diguna pakai bermula pada Februari tahun 2020,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Badan Kehakiman Malaysia sentiasa komited dalam memastikan penyampaian dan perkhidmatan kehakiman yang terbaik untuk semua pihak tanpa meminggirkan prinsip kebebasan kehakiman.
“Justeru, adalah diharap agar inisiatif ini dapat meningkatkan kualiti sesuatu penghakiman dan memperkasakan Badan Kehakiman Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.