By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Kota Bharu mengagihkan daging korban kepada 1,500 keluarga asnaf dan mereka yang layak di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen ini, hari ini.
Majlis agihan daging korban sempena Aidiladha itu disempurnakan oleh Ketua BERSATU bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Menurut Mohamed Farid, agihan bungkusan daging korban kepada setiap keluarga yang layak terpilih dari kawasan DUN Bunut Payong, Tanjong Mas dan Kota Lama.
Beliau berkata, sebanyak lapan ekor lembu disembelih oleh BERSATU bahagian Kota Bharu, sempena Aidiladha tahun ini.
Katanya, gerakan menyampaikan agihan daging korban oleh BERSATU juga secara langsung membabitkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cukup prihatin dengan kebajikan rakyat secara keseluruhan.
“Kita bersyukur kerana dapat menyelesaikan agihan daging korban kepada keluarga asnaf dan mereka layak dari tiga kawasan DUN berkenaan sebelum waktu Asar.
“Walaupun dalam keadaan penularan pandemik Covid 19, kita dapat jalankan ibadah korban tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis agihan daging korban di Flat Buluh Kubu di sini, hari ini.
Lebih 200 bungkusan daging korban diagihkan kepada penduduk Flat Buluh Kubu.
Mohamed Farid berkata, sebelum ini pihaknya turut mengagihkan 4,000 bakul makanan kepada penduduk yang terkesan dengan pandemik Covid 19 di kawasan Parlimen ini.
Katanya, pihaknya menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan supaya tidak tercicir daripada menerima sumbangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.
Sementara itu, seorang penerima, Zulkifli Nordin, 68, berterima kasih kepada BERSATU Kota Bharu atas pengagihan daging korban untuk dirinya.
Katanya, dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, ibadah korban tetap dibenarkan walaupun negara masih berdepan dengan penularan pandemik Covid 19.
Bagi suri rumah, Rokia Mohd, 41, bersyukur kerana terpilih sebagai penerima agihan daging korban.
Katanya, daging korban yang diterima ini besar ertinya kepada dirinya kerana berpeluang menerima agihan berkenaan.
“Bezanya tahun ini saya terima daging korban daripada pihak BERSATU Kota Bharu,” katanya.
Seorang lagi penerima, Sabarani Kadir, 50, tidak menyangka dihadiri Ketua BERSATU Kota Bharu yang datang mengagihkan sendiri daging korban kepada penduduk di Flat Buluh Kubu ini.
“Terima kasih lah kepada pihak BERSATU Kota Bharu yang sudi menghulurkan daging korban kepada saya sekeluarga.
“Dalam keadaan pandemik Covid 19, saya tidak lakukan ibadah korban tahun ini tetapi alhamdulillah dapat rezeki daging korban daripada pihak BERSATU Kota Bharu, ” katanya.