TANAH MERAH | Lambakan durian kampung, menyebabkan harga raja buah di Tanah Merah dan Jeli turun mendadak sejak beberapa hari lalu sehingga dijual dengan harga 50 sekilogram.
Harga yang murah menyebabkan 2,000 pekebun durian buntu kerana mereka tidak mendapat untung betikutan perlu menanggung kos membaja dan bayar pekerja.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Lanas-Jedok, Zulkifli Yunus, 62, berkata, pengeluaran hasil durian daripada 2,000 pekebun itu sebanyak 20,000 tan bagi semusim.
Katanya, lambakan buah durian itu menyebabkan harga jatuh mendadak apabila durian gred A hanya dijual kepada pemborong dengab harga RM1.50 sekilogram.
“Harga durian jatuh dipengaruhi beberapa faktor termasuk pergerakan terhad ekoran pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP.
“Selain itu, persaingan dengan durian dari negara Thailand yang masuk ke negara ini dan dijual dengan harga yang rendah sekitar RM2 satu kilogram (kg) sahaja turut menjadi faktor harga jatuh,” katanya ketika ditemui di Kampung Lawang, di sini, hari ini.
Pekebun durian, Makhtar Zakaria, 68, berkata, dia buntu kerana banyak durian miliknya rosak apabila tidak dapat dijual.
“Saya terpaksa jual dengan harga yang murah untuk menarik pemborong membeli hasil kebun saya.
“Kebiasaan harga durian dijual dengan harga RM6 ke atas untuk sekilogram, namun kini ia hanya dijual RM1.50 sahaja,” katanya.
Pekebun, Wan Mohd Rosdi Wan Mohamad, 37, berkata, dia mengusahakan kebun durian seluas 2.4 hektar dan kebunnya mampu mengeluarkan hasil sebanyak 500 kg sehari termasuk buah gred A dan B.
Katanya, pemborong memilih untuk membeli buah gred A dan durian gred B tidak dapat dijual. Akibatnya durian ini terpaksa dibuat tempoyak atau lempuk.
“Jika pemborong hendak beli, harga durian gred B hanya boleh dijual dengan harga 50 sen sekilogram sahaja.
“Saya jangka harga durian akan turun lagi memandangkan kemuncak pengeluaran buah itu dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya.
Menurutnya, dia berharap nasib penduduk terutama pengusaha durian dapat dibela oleh pihak berkenaan terutama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan harga kembali naik seperti biasa.