AMPANG | Hospital Ampang sedang melakukan siasatan berhubung kehilangan barang peribadi pesakit di hospital berkenaan.
Pengarahnya, Dr. Kasuadi Hussin berkata, merujuk kepada isu yang ditularkan di media sosial semalam, pihaknya mengambil berat berkaitan isu yang berlaku.
“Untuk makluman, pihak Hospital Ampang mengambil berat isu tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
“Sebarang perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh pihak hospital secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, Hospital Ampang berusaha memberikan perkhimatan terbaik, segala kesulitan amatlah dikesali.
Terdahulu tular di media sosial apabila seorang pengguna Twitter mendakwa barangan peribadi arwah ayahnya hilang.
Menurut ciapan tersebut, arwah ayahnya pergi ke Hospital Ampang dengan beg sandang, namun ketika menuntut barang tersebut dia hanya menerima telefon sahaja.
Katanya, kad pengenalan diri dan beg arwah ayahnya tidak ada dan menimbulkan kemusykilan.
Disebabkan itu, wanita terbabit membuat laporan polis.