JOHOR BAHRU | Pengurusan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) mengambil serius dakwaan beberapa individu kesihatan yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana menikmati durian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Jubli Intan, Jalan Ayer Molek, Bandar Johor Bahru.
Pengarah Hopital Sultanah Aminah Johor Bahru, Dr Mokhtar Pungut@Ahmad berkata, pihak pengurusan HSAJB akur dan akan memberi kerjasama dengan siasatan akan dijalankan polis berhubung perkara tersebut yang berlaku 18 Julai lalu.
“Pengoperasian PPV di Dewan Jubli Intan telah bermula pada 20 Jun lalu dan petugas di PPV sentiasa diingatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan keselamatan bagi menjaga SOP yang ditetapkan pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, antara perkara yang dingatkkan kepada petugas di PPV ialah amalan 3W iaitu kerap mencuci tangan (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan pelaksanaan amaran yang lebih berkonsep peringatan (warn).
Selain itu, turut ditekankan mengelakkan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elakkan bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).
“Peringatarn khusus kepada anggota yang terlibat dalam perkhidmatan perawatan serta vaksinasi sentiasa dilaksanakan oleh pihak pengurusan melalui mesyuarat, hebahan dan memo,” katanya.
Walau bagaimanapun, pengoperasian pemberian vaksin di Dewan Jubli Intan akan tetap berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan dengan mengamalkan SOP sediada.
Sebelum ini tular satu video berdurasi 27 saat di media sosial, menunjukkan sekumpulan indivisu termasuk anggota kesihatan di PPV Dewan Jubli Intan sedang menikmati durian.