PUTRAJAYA | Kadar kemalangan pekerjaan dan jumlah kematian pekerja di negara ini menunjukkan penurunan pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya.
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, pada tahun 2020, sebanyak 32,674 kes kemalangan pekerjaan telah direkodkan di seluruh Malaysia.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 312 kes membabitkan maut.
“Ini menjadikan kadar kemalangan pekerjaan di Malaysia pada tahun 2020, ialah 2.18 bagi setiap 1,000 pekerja, iaitu penurunan sebanyak 20% berbanding 2.71 pada tahun 2019.
“Kadar kematian pekerjaan pula berkurang sebanyak 45%, iaitu 2.09 setiap 100.000 pekerja pada tahun 2020, berbanding 3.83 pada tahun sebelumnya,” katanya.
Kenyataan juga memberitahu, dalam tempoh sedekad yang lalu, kadar kemalangan pekerjaan 2020 menunjukkan penurunan ketara sebanyak 41%, berbanding 3.68 setiap 1,000 pekerja pada tahun 2010.
“Sementara itu, kadar kematian pekerjaan 2020 pula berkurang sebanyak 68%, berbanding 6.45 setiap 100,000 pekerja pada tahun 2010,” katanya.
Tambahnya, antara taktor penurunan kadar kemalangan pekerjaan negara 2020 ialah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac 2020 yang lalu menyebabkan sektor industri tidak beroperasi sepenuhnya.
Selain itu, penguatkuasaan dan promosi berkesan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) diteruskan dengan menggunakan pendekatan norma baharu.
Faktor lain juga adalah, kesan tindakan punitif Jabatan terhadp majikan yang gagal mematuhi kehendak perundangan Keselamata dan Kesihatan Pekerja (KKP).
“Majikan dan pekerja lebih prihatin untuk melaksana dan mematuhi SOP termasuk aspek KKP.
“Peranan aktif penyedia latihan, pertubuhan bukan kerajaan, dan lebih 68 ribu pengamal KKP berdaftar dalam membantu majikan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya.
Turut mempengaruhi kadar penurunan kemalangan dan kematian adalah keberhasilan jangka panjang pelaksanaan Pelan Induk KKP Negara.
Berdasarkan statistik di atas, kesemua indikator prestasi utama di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara terdahulu iaitu OSHMP 2020 telah berjaya dicapai.
Pencapaian ini merupakan keberhasilan daripada usaha bersinergi semua pemegang taruh termasuk Kerajaan, majikan, pekerja, pengamal KKP, persatuan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan.