KUALA LUMPUR | Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa menziarahi lapan beradik yatim piatu selepas kedua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19 di Bukit Beruntung, Rawang, hari ini.
Menerusi lawatan itu, Ismail Sabri berkata, secara peribadi, beliau amat sedih apabila melihat sendiri mata mereka yang berkaca dan wajah yang menyimpan kepiluan kerana kehilangan ibu bapa yang disayangi.
“Mereka adalah lapan beradik menjadi yatim piatu kerana kematian ibu bapa mereka akibat COVID-19.
“Kerajaan akan terus membantu serta memberi penumpuan kebajikan anak-anak Allahyarham Benyajeed Bernie.
“Boustead Holding Berhad, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil mereka sebagai anak angkat dan akan membiayai pengajian anak-anak Allahyarham sehingga berumur 18 tahun,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini malam ini.
Beliau berkata, salah seorang anak Allahyarham, Muhammad Muzzakir akan ditawar bekerja secara tetap di Boustead.
Katanya, selain itu, bantuan-bantuan lain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan lain-lain juga turut memberikan perhatian demi menjaga kebajikan anak-anak Allahyarham.
“Semoga Allah melindungi anak-anak ini dan mari lah kita sedekahkan Al Fatihah kepada kedua-dua ibu bapa mereka yang telah pergi mengadap Ilahi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, bersama tujuh adiknya yang berumur antara 18 hingga empat tahun kini dijaga ibu saudara mereka di Bukit Beruntung, di sini.
Ketua keluarga itu, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai manakala ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pula pada 18 Julai akibat COVID-19.