By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang lebih stabil walaupun ada gerakan pihak tertentu yang mahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundur diri daripada jawatan berkenaan.
Ahli Majljs Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, sokongan rakyat kepada Perdana Menteri tetap teguh kerana mereka yakin dengan Kerajaan PN.
“Kalau kita fikir, tiap-tiap minggu ada saja usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Tapi kita juga harus ingat dengan izin Allah, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) masih lagi tidak jatuh.
“Jadi apakah sebab Tan Sri Muhyiddin tidak jatuh?, sebabnya banyak orang, masyarakat yang terkesan ni berdoa untuk Tan Sri (Muhyiddin Yassin) sama juga bila kita menyampaikan sumbangan kita kata minta doa sihat dan sebagainya.
“Tidak ada dalam sejarah negara kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang begitu prihatin, begitu berhati besar, berjiwa besar dan membuat apa yang paling baik untuk rakyat di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika mengagihkan lebih 200 bungkus daging korban kepada penduduk di Flat Buluh Kubu di sini, hari ini.
Mohamed Farid berkata demikian ketika diminta mengulas gerakan pihak tertentu yang mendesak Perdana Menteri mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan.
Mengulas lanjut perkara itu beliau berkata, pada pengamatannya dari sudut politik, kedudukan kerajaan PN lebih stabil berbanding dua minggu lalu atau sebelumnya
“Saya sendiri merasakan bahawa kesannya tidak ada sangat, terlalu kecil ataupun tidak ada kesan.
Sehubungan itu beliau menasihatkan pihak yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri supaya berhenti berbuat demikian.
Katanya, pihak berkenaan sepatutnya menumpu kepada agenda membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid 19.
“Jadi berhentilah daripada melakukan kerja seperti itu. Ia tidak membantu kesusahan rakyat atau dalam membantu kerajaan untuk memberi keharmonian kepada negara kita.
“Jadi tenaga mereka, usaha mereka, wang ringgit mereka sepatutnya diusahakan untuk membantu rakyat,” katanya.