KUALA LUMPUR | Kerajaan mengenal pasti potensi teknologi hijau antara teras untuk mempercepatkan ekonomi serta menggalakkan pembangunan lestari negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mahu meneroka teknologi hijau termasuk potensi peranan hidrogen dalam campuran tenaga negara dan sumbangannya kepada pembangunan semula ekonomi negara.
Katanya, pandemik COVID-19 memberi dorongan baharu untuk memainkan peranan dalam agenda kelestarian.
“Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia (IGEM) akan menganjurkan ‘The Strategic Lab-Visioning a Hydrogen Economy for Malaysia’ bagi meneroka potensi peranan hidrogen dalam campuran tenaga negara dan bagaimana ia dapat menyumbang untuk membina semula ekonomi kita. Sesi ini akan diketuai oleh barisan panel terdiri daripada pakar dari dalam dan luar negara.
“Kita mengalu-alukan usaha syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama mengenai teknologi dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem hidrogen, pengkomersialan dan teknologi hijau.
“Syarikat ini komited untuk melabur secara aktif dalam projek hidrogen hijau dan penyampaian tenaga boleh diperbaharui, ekonomi kitaran dan mobiliti karbon yang rendah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran IGEM 2021 secara maya hari ini.
IGEM yang dianjurkan secara maya di www.igem.my antara 1 Julai hingga 31 Disember ini bakal menampilkan hampir 300 pempamer dari 50 negara dan dijangka menarik kunjungan 30,000 pelawat.
Ia dijangka mampu menjana lebih RM5 bilion potensi pelaburan biarpun diadakan secara maya tahun ini.