By Nor Shazleza Shahril
PUTRAJAYA | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan satu klip video tular, yang mendakwa kerajaan sudah membuat keputusan membenarkan perjalanan rentas negeri.
Kementerian itu dalam satu kenyataan menerusi laman Twitter KKMalaysia berkata, klip video berdurasi 20 saat itu adalah fitnah yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial, seolah-olah ada keputusan dan kebenaran oleh Kerajaan untuk rentas negeri dan daerah.
“Video sebenar adalah video pada 1 April 2021. Video asalnya berdurasi 1 minit 2021.
“Video yang disebar di WhatsApp itu disunting dan disebarkan untuk mengelirukan orang ramai,”
“Klip video yang disunting daripada laporan berita Buletin Utama itu dipercayai sudah disebarkan berulang-ulang kali,” katanya.
Kementerian itu menasihati masyarakat untuk sentiasa membuat semakan di media sosial rasminya untuk mendapatkan maklumat terkini yang sahih.
Laporan asal bertarikh 1 April lalu antara lain menyebut rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 akan dibenarkan untuk merentas negeri tanpa halangan, termasuk ke luar negara dengan adanya sijil khas yang membuktikan mereka sudah melengkapkan pelalian.