PUTRAJAYA | Berbanding 10 tahun yang lalu, terdapat peningkatan ketara iaitu lima kali ganda jumlah pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan yang diterima oleh Jabatan Kelamatan dan Kesihatan Perkerja (JKKP).
Kenyataan Kementerian Sumber Manusia hari ini memberitahu, daripada 1,426 kes yang dilaporkan pada tahun 2010 telah meningkat kepada 9,108 pada tahun 2020.
Menurutnya, ia selaras dengan peningkatan bilangan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) berdaftar iaitu 483 pada tahun 2011 kepada 1,080 pada tahun 2020.
“Dalam aspek kesihatan pekerjaan, Kementerian menerusi MNKKP dan JKKP berusaha ke arah meningkatkan kesedaran majikan dan pengamal perubatan untuk melaporkan kes-kes penyakit dan keracunan di tempat kerja.
“Berdasarkan statistik di atas, kesemua indikator prestasi utama di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara terdahulu iaitu OSHMP 2020 telah berjaya dicapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan juga menyebut, pencapaian ini merupakan keberhasilan daripada usaha bersinergi semua pemegang taruh termasuk Kerajaan, majikan, pekerja, pengamal KKP, persatuan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan.
Tambahnya, bagi meneruskan momentum ini, Kementerian menerusi MNKKP serta JKKP akan melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021 — 2025 (OSHMP25) pada suku keliga 2021, yang bertemakan “KKP Inklusif — Kebersamaan dan Komitmen”.
Katanya, di sebalik pandemik COVID-19 yang masih melanda negara dan dunia pada masa kini, semua pihak perlu memainkan peranan secara bersinergi dan holistik bagi memastikan aset utama negara, iaitu sumber manusia terpelihara serta berada dalam persekitaran kerja yang selamat, sihal dan kondusif.
Justeru, katanya, Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) menyeru semua pemegang taruh terutamanya majikan dan pekerja untuk mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk mematuhi sepenuhnya SOP bagi mencegah penularan COVID-19 sama ada di tempat kerja atau di tempat awam.
Kadar kemalangan, kadar kematian dan jumlah pelaporan penyakit pekerjaan merupakan tiga indikator utama yang menunjukkan pencapaian tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Malaysia yang dinyatakan di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2016 — 2020 (OSHMP 2020).
Butiran lanjut statistik kemalangan dan penyakit pekerjaan negara 2020 ini boleh diakses menerusi laman web JKKP iaitu di pautan www.dosh.gov.my.