PUTRAJAYA | Malaysia dan Amerika Syarikat mengukuhkan hubungan percukaian dua hala menerusi pelaksanaan Foreign Account Tax Compliance Act (FATCA).
Kementerian Kewangan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Malaysia antara 113 negara yang telah menyertai pelaksanaan FATCA.
Menurutnya, FATCA merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat bagi menambahbaik amalan pertukaran maklumat berkaitan percukaian, khususnya melibatkan warga Amerika Syarikat.
“Dalam konteks Malaysia, inisiatif ini merupakan pelengkap kepada usaha yang dilakukan menerusi penyertaan di forum antarabangsa yang diterajui oleh
Organisation for Economic and Cooperation Development (OECD) untuk terus meningkatkan ketelusan percukaian berdasarkan amalan terbaik,” katanya.
Perjanjian Intergovernmental Agreement antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat telah ditandatangani semalam oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Tuan Yang-Terutama Brian McFeeters yang berlangsung secara serentak di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Ia turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan II, Tuan Mohd Shahar Abdullah.
Kenyataan menyebut, pemuktamadan perjanjian itu menunjukkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara
kedua-dua negara.
Katanya, pelaksanaan FATCA merupakan kejayaan daripada hasil siri perbincangan antara kedua-dua negara, berdasarkan keperluan untuk mempunyai mekanisme yang lebih efektif bagi memudahkan pertukaran maklumat.
Sementara itu, Tuan Mohd Shahar dalam ucapannya menekankan bahawa selaras dengan perkembangan terkini sistem percukaian antarabangsa, penambahbaikan dalam ketelusan dan amalan pertukaran maklumat cukai antara negara memerlukan kerjasama yang lebih meluas, terutamanya dalam menangani isu pengelakan
cukai dan pelarian cukai.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters, dalam ucapan balas menyatakan bahawa pemuktamadan FATCA merupakan antara detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia – Amerika Syarikat, dan menghargai usaha yang telah dilakukan oleh institusi perbankan Malaysia berhubung aspek pematuhan yang menunjukkan kecemerlangan mereka selaku institusi bertaraf dunia.
Perjanjian FATCA ini juga adalah sangat penting ke arah usaha Malaysia untuk mengadakan perjanjian percukaian secara bilateral yang lebih komprehensif dan akan memberi manfaat kepada pembayar cukai Malaysia dan Amerika Syarikat.