PUTRAJAYA | Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) telah membentangkan dua kertas pemakluman dalam mesyuaratnya yang diadakan secara atas talian hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, mesyuarat itu disertai kurang 70 orang wakil kementerian dan agensi anggota MAPO serta organisasi lain dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
“Dua kertas pemakluman yang dibentangkan adalah laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang Tahun 2021 dan garis panduan pengoperasian di bawah MAPO semasa penularan penyakit berjangkit.
“Dalam mesyuarat tersebut, MAPO memutuskan untuk terus mengambil inisiatif bagi memperkasakan struktur dan jawatankuasa sedia ada, termasuk mengundang beberapa pakar bidang tertentu untuk membantu menambahbaik penarafan Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Wan Ahmad Dahlan berkata, kerjasama yang telah terjalin dengan pelbagai organisasi lain seperti badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan antarabangsa, ahli akademik serta individu-individu yang aktif dalam isu ini akan terus diperkukuh.
Katanya, ia untuk memastikan isu ini dapat ditangani secara holistik melalui pendekatan whole-of-nation, tanpa kompromi dengan mengutamakan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Selain daripada itu, MAPO juga telah menyediakan Laporan Negara mengenai Pemerdagangan Orang yang bertujuan untuk menerangkan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia.
“Laporan tersebut adalah dokumen umum yang boleh dimuat turun daripada laman sesawang MAPO (http://mapo.bernama.com/),” katanya.
Beliau berkata, MAPO juga telah melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Antipemerdagangan Orang (2021-2025) atau National Action Plan on Anti-trafficking in Persons (NAPTIP 3.0) yang merupakan komitmen berterusan pihak Kerajaan.
Katanya, perkara itu turut disokong oleh NGO, CSO, pertubuhan antarabangsa termasuk perwakilan diplomatik asing dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang ini.
“Sehingga Jun 2021, sebanyak 58 kes pemerdagangan orang telah diambil tindakan melibatkan tangkapan berjumlah 131 orang. Daripada jumlah ini, sebanyak 37 kes adalah melibatkan eskploitasi buruh paksa. Bagi tempoh yang sama, sebanyak 142 kes penyeludupan migran telah diambil tindakan melibatkan tangkapan berjumlah 233 orang,” katanya.