PUTRAJAYA | Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Antipemerdagangan Orang (NAPTIP 3.0) 2021-2025 dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang.
Pelan itu adalah komitmen berterusan pihak kerajaan dengan disokong badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO), serta pertubuhan antarabangsa termasuk perwakilan diplomatik asing.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata sehingga Jun lalu, sebanyak 58 kes pemerdagangan orang telah diambil tindakan mebabitkan tangkapan berjumlah 131 orang.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 37 kes adalah melibatkan eskploitasi buruh paksa manakala bagi tempoh sama, sebanyak 142 kes penyeludupan migran telah diambil tindakan membabitkan tangkapan berjumlah 233 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, MAPO telah bermesyuarat hari ini secara dalam talian yang disertai kira-kira 70 wakil kementerian dan agensi anggota MAPO serta organisasi lain dan NGO yang berkaitan.
Menurutnya, dalam Mesyuarat MAPO kali kedua bagi tahun 2021 itu, sebanyak dua kertas pemakluman telah dibentangkan iaitu Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) Mengenai Pemerdagangan Orang dan Garis Panduan Pengoperasian di Bawah MAPO Semasa Penularan Penyakit Berjangkit.
“Dalam mesyuarat itu, MAPO memutuskan untuk terus mengambil inisiatif bagi memperkasakan struktur dan jawatankuasa sedia ada, termasuk mengundang beberapa pakar bidang tertentu untuk membantu menambahbaik penarafan Malaysia dari semasa ke semasa.
“Kerjasama yang terjalin dengan pelbagai organisasi lain seperti NGO, CSO, pertubuhan antarabangsa, ahli akademik serta individu-individu yang aktif akan terus diperkukuh bagi memastikan isu ini dapat ditangani secara holistik melalui pendekatan whole-of-nation, tanpa kompromi dengan mengutamakan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya,
Selain itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, MAPO juga telah menyediakan Laporan Negara mengenai Pemerdagangan Orang yang bertujuan untuk menerangkan inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di negara ini.
Laporan berkenaan adalah dokumen umum yang boleh dimuat turun daripada laman sesawang MAPO (http://mapo.bernama.com/).
Tamat