PUTRAJAYA | Kerajaan sedang memperhalusi cadangan membenarkan pasangan jarak jauh yang lengkap suntikan dua dos untuk merentas negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu tersebut sering dibawanya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, beliau berharap kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin.
“Melihat kepada komen-komen yang diberikan netizen di media sosial, saya dapati ramai yang menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibubapa yang terpisah dengan anak-anak kerana larangan merentas negeri.
“Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia,” katanya dalam kenyataan facebook miliknya.
Ismail Sabri berkata, walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama.
“Lebih-lebih lagi jika ibu bapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin,” katanya.