KUALA TERENGGANU | Jalan pesisir pantai Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu bagi laluan dari Bulatan Ketapang menghala ke pusat bandar (jambatan angkat) akan ditutup.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Abdul Rahim Mat Din berkata, penutupan tersebut bemula hari ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Langkah ini diambil bagi mengelakkan orang ramai berkunjung dan berkumpul sehingga menyukarkan penjarakan fizikal yang boleh menyebabkan penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi penggunajalan raya berkenaan, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif lain ke pusat bandar dengan melalui Jalan Seberang Takir, Jalan Bukit Tumbuh dan Jambatan Sultan Mahmud.
Sebagai peringatan, beliau berkata, pihak polis akan membuat rondaan di sepanjang jalan pesisir pantai Seberang Takir bagi tujuan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, orang ramai boleh merujuk SOP Pelan Pemulihan Negara fasa 2 yang telah dikeluarkan oleh Mailis Keselamatan Negara untuk maklumat lebih lanjut.
Katanya, sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan pusat kawalan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di talian 09-6322377.