KUALA LUMPUR | Pemberian vaksin COVID-19 tidak akan diberikan kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah dan juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) berkata, ia bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas remaja pada usia itu mengambil dos kedua suntikan vaksin COVID-19 seperti kajian dijalankan di Amerika Syarikat (AS).
Kenyataan itu berkata, pemberian vaksin ketika ini hanya kepada remaja yang akan mencapai usia 18 tahun termasuk pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Vaksinasi bagi golongan ini akan diteruskan mengikut penjadualan dan janji temu yang ditetapkan.
“Buat masa ini kerajaan bersetuju untuk tidak memberikan vaksin COVID-19 kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah, termasuk calon SPM bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis selepas individu remaja mengambil dos kedua suntikan vaksin COVID-19 seperti kajian di AS.
“Usaha sedang dilakukan untuk mempergiatkan vaksinasi dalam kalangan guru, kakitangan sekolah dan staf sokongan sekolah sebagai persediaan pembukaan sekolah kelak,” katanya.
Kenyataan itu berkata, pelaksanaan itu dipantau secara bersama oleh Pejabat Pendidikan dan Jabatan Kesihatan di peringkat negeri serta daerah.