PUTRAJAYA | Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah melanjutkan tempoh kemudahan moratorium sehingga tiga bulan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) 3.0 bagi membantu meringankan beban kewangan koperasi yang terjejas.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menjangkakan kemudahan moratorium tambahan tiga bulan di bawah PPN 3.0 ini akan memanfaatkan kepada 1,053 koperasi dengan anggaran penangguhan pembiayaan berjumlah RM92.4 juta.
Menurutnya, kemudahan moratorium PPN 3.0 itu adalah tambahan kepada kemudahan moratorium PKP 3.0 sebelum ini yang menawarkan tempoh tempoh sama bermula Jun hingga Ogos seperti diumumkan di bawah inisiatif PEMERKASA Plus.
Katanya, sebanyak 127 koperasi dengan 255 akaun pembiayaan di bawah Tabung Modal Pusingan (TMPSKM) yang diluluskan moratorium PKP 3.0 sebelum ini dengan anggaran kos RM8.3 juta akan diberikan perlanjutan tambahan secara automatik di bawah PPN 3.0 selama 3 bulan lagi menjadikan enam bulan kesemuanya.
“Kutipan bayaran balik bagi pembiayaan ini hanya akan dibuat mulai Disember ini. Tawaran penangguhan pembayaran selama enam bulan ini juga dibuka kepada permohonan pembiayaan TMP SKM baharu yang dikemukakan sehingga 31 Julai dengan kutipan bayaran balik hanya akan bermula pada Januari 2022.
“Proses permohonan baharu bagi kemudahan moratorium PPN 3.0 telah dipermudahkan di mana koperasi yang layak hanya perlu mengemukakan permohonan rasmi, Penyata Terimaan dan Bayaran serta penyata bank bagi tempoh tiga bulan secara atas talian.
“Bagaimanapun, tawaran moratorium adalah berbentuk ‘volantorally’ di mana impak penangguhan pada masa kini akan menyebabkan perlanjutan dalam tempoh pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, koperasi perlu bersetuju untuk pemanjangan tempoh pinjaman berikutan permohonan moratorium.
Katanya, SKM tiada hak untuk memanjangkan tempoh pinjaman tanpa persetujuan dari koperasi.
“Sehubungan itu, koperasi perlu mengemukakan permohonan untuk kemudahan moratorium berkenaan sebagaimana dilaksanakan oleh bank kepada individu dan SME di bawah tawaran moratorium PEMULIH.
“Kaedah pemberian moratorium PPN 3.0 ini selari dengan kaedah moratorium automatik yang ditawarkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu pelaksanaan penangguhan bayaran adalah melalui cek dan ‘standing instruction’ (SI) bank koperasi.
“Oleh itu, koperasi memerlukan surat kelulusan untuk menghentikan SI tersebut, dan pihak SKM tidak ada kuasa untuk menghentikan SI bank koperasi,” katanya.
Melalui permohonan yang dibuat oleh koperasi, katanya, SKM akan mengeluarkan surat kelulusan untuk kegunaan koperasi bagi menghentikan bayaran SI yang mana ia adalah kaedah yang wajib digunakan oleh koperasi untuk dibuat bayaran balik.
“Kemudahan moratorium PPN 3.0 ini ditawarkan kepada semua koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan TMP SKM.
“Bagaimanapun, koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan bagi aktiviti kredit, kelulusan moratorium PPN 3.0 ini tertakluk kepada koperasi yang menawarkan kemudahan moratorium kepada anggota koperasi,” katanya.