KUALA LUMPUR | Sehingga kini, seramai lapan individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan berkait vaksin Covid-19.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima empat laporan polis berkait isu vaksin Covid-19.
“Tiga daripada laporan yang diterima berkenaan dakwaan wujudnya aktiviti penipuan penjualan vaksin kepada orang awam. Manakala satu lagi berkait dengan isu penambahan jumlah penerima vaksin di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Kesemua yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Kamarudin berkata, satu daripada siasatan kes tersebut telah selesai dan pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan.
Katanya, hal ini kerana setelah siasatan dilakukan, tiada bukri serta keterangan yang mencukupi untuk menuduh suspek-supek yang terlibat.
“Pihak Polis menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan siasatan kes ini.
“Pihak polis sentiasa komited untuk memastikan siasatan dijalankan dengan adil dan saksama selaras peruntukkan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga turut mengesan kewujudan modus operandi baru menggunakan isu penjualan vaksin Covid-19 untuk memperdayakan mangsa.
Katanya, dalam kes ini, mangsa akan dihubungi oleh sindiket yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa seterusnya dimaklumkan akan dikenakan tindakan kerana telah menjual vaksin secara atas talian melalui laman facebook.
“Mangsa yang panik kemudiannya akan menuruti semua arahan yang diberikan sehingga membuat bayaran kedalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket.
“Sehingga kini, 38 laporan polis telah diterima berkaitan kes ini melibatkan kerugian berjumlah RM54,500,” katanya.
Nasihatnya agar orang ramai sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan pihak sindiket yang mengambil kesempatan,” katanya.