Baitulmaqdis | Seorang terbunuh manakala 10 yang lain cedera dalam satu letupan di sebuah pasar Zawiya di bandar Gaza semalam.
Mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal dan dibawa ke Hospital Shifa untuk menerima rawatan.
Motif kejadian masih belum dapat dipastikan, lapor media tempatan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Iyad al-Buzum berkata, letupan berlaku di sebuah bangunan kediaman yang terdiri daripada beberapa tingkat hingga menyebabkan runtuhan.
Katanya, polis, pertahanan awam dan ambulans digerakkan ke lokasi kejadian manakala kertas siasatan mengenainya sudah dibuka.
Dalam satu kenyataan, Pasukan Pertahanan Awam berkata, kebakaran berlaku di sebuah kedai gas yang terletak di bahagian bawah bangunan tiga tingkat itu.
Saksi berkata, letupan mengakibatkan kebakaran dan kerosakan beberapa kedai di kawasan itu.
Ketua Pentadbiran Awam kerajaan Issam al-Dalees menggesa hasil siasatan dikeluarkan secepat mungkin bagi mengelakkan ia berulang pada masa depan selain menyelesaikan kes itu dengan segera.
“Kami menerima laporan lapangan mengenai prestasi petugas yang bekerja dalam memadamkan kebakaran, menyelamatkan yang cedera dan membuang runtuhan.
“Kami juga menerima laporan dari kementerian kesihatan mengenai status mangsa yang cedera dan pertolongan cemas yang diberikan,” kata al-Dalees dalam kenyataan.