KUALA LUMPUR | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa, kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institusi Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah mengenal pasti sebanyak 119 kes varian baharu virus SARS-CoV-2.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua 119 kes adalah Variant of Concern (VOC) iaitu 106 kes varian Delta (B.1.617.2); 10 kes varian Beta (B.1.351) dan tiga kes varian Alpha (B.1.1.7).
Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 429 kes.
“Daripada jumlah yang dikesan itu, 409 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah Variant of Interest (VOI).
“Secara keseluruhan bagi VOC terdapat sebanyak 206 kes varian Beta, 189 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya menerusi laman Facebook rasminya di sini hari ini.