BATU PAHAT | Polis akan memanggil Datuk Mohd Rashid Hasnon susulan tular di laman sosial yang memaparkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu sedang menikmati juadah raya termasuk ketupat yang didakwa di sebuah ladang pertanian di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kertas siasatan sudah dibuka bagi menyiasat dakwaan tersebut berikutan gambar aktiviti Ahli Parlimen Batu Pahat itu tular dalam media sosial.
Katanya, hantaran berasingan juga mendapati wakil rakyat itu sedang bergambar dengan seorang lelaki dan dua perempuan tanpa memakai pelitup muka serta tiada penjarakan sosial.
“Siasatan terhadap Mohd Rashid serta beberapa lagi individu lain akan dijanakan kerana didakwa mengingkari prosedur operasi standard (SOP) apabila menyertai aktiviti terbabit.
“Siasatan akan dijalanan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan supaya bersama-sama dapat membendung wabak Covid-19 yang sedang melanda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada hujung bulan lalu, Mohd Rashid dipanggil dan disiasat polis kerana makan durian beramai-ramai dalam sebuah kebun durian juga di Batu Pahat.
Video Mohd Rashid makan durian beramai-ramai itu tular dalam media sosial sebelum beliau tampil memohon maaf atas kesilapannya itu.
Tamat