KUALA LUMPUR | Sebanyak 13 lokaliti di Sabah, Kuala Lumpur dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini.
PKPD berkenaan akan dilaksanakan sehingga 7 Ogos depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 11 lokaliti di Sabah iaitu enam lokaliti di Kota Kinabalu, dua di Sandakan dan masing-masing satu di Kudat, Keningau, Sandakan dan Papar.
Katanya, enam lokaliti di Kota Kinabalu yang dikenakan PKPD ialah Taman Sepanggar; Blok D dan E Apartmen Angkasa; Bandar Sinsuran; Kampung Sepakat Jaya; Kampung Rampayan dan Kampung Lokub.
“Lokaliti lain di Sabah ialah Kampung Kolam, Kudat; Taman Sabana Fasa 1, Keningau; Kampung Berhala Darat dan Kampung Melayu Bumiputera, Sandakan dan Kampung Ngapas, Jalan Kebun Lama di Papar.
“Taman Hock Ann, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 dan 2, Mukah, Sarawak turut dikenakan PKPD,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman web MKN di www.mkn.gov.my.