PUTRAJAYA | Sejumlah 281 tapak pembinaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) diarah tutup dalam tempoh 1 Jun hingga semalam.
Sebanyak 209 daripada tapak pembinaan berkenaan masih ditutup, manakala 72 tapak dibenarkan dibuka semula selepas patuh SOP.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam tempoh tersebut 5,766 tapak pembinaan telah diperiksa oleh CIDB di seluruh negara bagi memastikan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Menurutnya, daripada jumlah tapak pembinaan yang diperiksa 1,142 tapak beroperasi iaitu 20% dengan 933 (82%) patuh SOP dan 209 (18%) tak patuh SOP manakala 4,624 tapak pembinaan (80%) tidak beroperasi
“Antara sebab penutupan tapak pembinaan berkenaan adalah tiada surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang membabitkan 94 kes,.
“Tiada kebenaran PBT / JTK ialah 68 kes, mempunyai kebenaran MITI tetapi bukan dalam kategori (32), tidak patuh SOP (84) dan kluster (3),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau menyertai Operasi Penguatkuasa Bersepadu CIDB dan JTK ke dua tapak pembinaan di Jalan Yap Kwan Seng dan Jalan Bukit Bintang.
Tambahnya, operasi itu dilakukan bagi memastikan pematuhan peraturan dan SOP khususnya dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19.
Katanya juga, tiada ketidakpatuhan dan pelanggaran SOP dilakukan di kedua-dua tapak berkenaan.
Bagaimanapun, CIDB dan JTK memberikan nasihat untuk memperbaiki keadaan tempat penginapan pekerja termasuk juga menjaga aspek kebersihan di kedua-dua lokasi operasi berkenaan.
Beliau pada masa sama turut menyampaikan sumbangan makanan – Serahan Cakna Industri Pembinaan untuk pekerja di dua tapak pembinaan berkenaan selepas operasi dijalankan.