By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Op Patuh bersepadu Polis Diraja Malaysia bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua tapak pembinaan di sekitar Kuala Lumpur memeriksa 168 warga asing yang berada di tapak-tapak pembinaan berkenaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah itu, 38 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen 1958/63.
Katanya, mereka ditahan untuk tindakan serta siasatan selanjutnya oleh pihak JIM.
“Tindakan juga akan diambil terhadap majikan yang telah didapati menggaji PATI secara tidak sah.
“Jika disabitkan dengan kesalahan dibawah seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, majikan boleh didenda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang pekerja yang diambil,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Beliau berkata, jika bilangan pekerja PATI berkenaan melebihi lima orang, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali.